Tuesday, 1 October 2013

UKHUWAH ITU INDAH



         

Bukan senang untuk mencipta sebuah pertemuan, bukan mudah untuk menjalinkan sebuah ikatan, apatah lagi untuk mengekalkan ukhuwah yang terbina, namun sebagai insan yang biasa, dugaan hidup akan terus melanda meskipun bukan ini yang dipinta, berbagai cabaran dihadapi, pelbagai dugaan menanti diri, hari demi hari ianya datang silih berganti, aduh, betapa susahnya hidup didunia yang fana ini, alangkah susahnya mencari seorang teman yang hadirnya dikala kita senang dan ketika kita masih lagi bernama insan, namun lebih susah untuk memiliki seorang sahabat yang setia disisi menemani, disaat ceria dan duka, dialah peneman yang menunjuk jalan kearah kebenaran, tidak ditinggalkan kita bersendirian walaupun dirinya dalam kegelisahan mereka inilah yang dinamakan (“..dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah..” ) sebagaimana yang terdapat dalam hadis Nabi, golongan yang dinaungi oleh Allah dihari tiada lagi naungan selain dari naunganNya.

Menyingkap kembali memori ketika mana kami mula-mula dipertemukan di sebuah tempat yang menjadi naungan para malaikat, didalamnya terdapat majlis-majlis ilmu, nama lain bagi tempat ini adalah ‘Taman Ilmu dan Budi’. Pertemuan yang telah ditakdirkan oleh Ilahi, kami bertemu dan terus mesra, alangkah indahnya ukhuwah seorang muslim sejati, bertemu dengan saudara seagama sudah mampu membahagiakan hati. Berbumbungkan mahallah Fatimah Az-Zahra, berada dalam kumpulan belajar yang sama, malah hampir setiap kali ‘outing’ kami lakukan bersama, alhamdulillah, terima kasih Ya Allah!

Hubungan yang terbina atas dasar kasih dan cinta keranaNya membuahkan hasil yang mengekalkan dan mengeratkan hubungan ini, jika dilihat dari satu sudut, kami datang dari latar belakang keluarga, pengajian, dan minat yang berbeza. Seorangnya dari terengganu, dua dari kelantan, tiga berasal dari ‘utagha’ dan yang lainnya Kuala Lumpur, perbezaan dari segi tempat tinggal tidak menyulitkan kami untuk menjadi sahabat kerana jauh hanya jarak, jika insan saling setia dan berharap, segalanya mungkin kan? Adakalanya minat mempengaruhi kehidupan seseorang sekaligus menjadi faktor utama kejayaan atau kegagalan seseorang dalam perhubungan. Dua orang yang mempunyai kecenderungan minat yang berbeza amat sukar sekali untuk bertemu dalam satu majlis yang boleh menyatukan mereka.

Bagi yang memahami akan mengerti, kami hidup dalam dunia sendiri tapi tetap menghubungkan antara satu sama lain, jika minat salah seorang adalah cerita korea, maka yang lain akan turut bersama ‘meraikannya’ dan adapun yang lain meminati seni suara yang hampir setiap hari ‘menyumbangkan’ suaranya untuk hiburan bersama, cara kami bukan mengutuknya tapi memberi sokongan dan semangat, tidak hairanlah jika kami mampu menubuhkan sebuah kumpulan yang bertemakan alunan suara yang memuji nabi Muhammad atau dalam kata lainnya ‘team qasidah’. Allahu akbar! Sungguh hebat kecintaan sahabat-sahabat rasulullah terhadap beliau, moga-moga kita mampu mencintai baginda sebagaimana yang dikatakan baginda sendiri sebagai ‘ikhwannya’ yang tidak pernah melihat baginda akan tetapi mencintai baginda sehebat cinta para sahabat. Teringat satu kata-kata mengenai kemuliaan Islam. Daripada Umar Al-Khattab R.A:
“Kami adalah kaum yang dimuliakan Allah dengan Islam. Maka sekalipun kita mencari kemuliaan selain dengan apa yang Allah muliakan kepada kita, maka Allah akan menghinakan kita.”





***************************************




Bulan Ramadhan, bulan yang membawa rahmat bagi seluruh ummat islam, pahala digandakan, ibadah sunat mendapat ganjaran ibadah wajib, bersedekah sangat-sangat dianjurkan dalam bulan ini, dalam bulan ini jugalah menjadi sejarah buat kami terutama aku sendiri. Segalanya bermula dalam keadaan yang tidak disangka, perhubungan yang terjalin tanpa dijangka. Menerima ‘SMS’ dari kenalan abangku yang berada berdekatan dengan tempat penginapan kami, mengajak untuk berbuka puasa bersama memandangkan aku yang tidak pulang pada cuti awal ramadhan kerana mengalami masalah kewangan.
[salam, nie azrin ke? Adik zul?]
[wslam, yup, nie spe ea?]
[nie kak sya, kwn abg zul]
[owh, ye2 ada ape nie?]
[xd lah, juz nak ajak adik join family akak bukak puasa, memandgkn adik xblk kan?]
[haah, xbalik, eh, ajak bukak puasa?] 
Agak terkejut dengan pelawaan dari seseorang yang baru dikenali untuk berbuka puasa bersama, lebih-lebih lagi dengan keluarga dia. Keputusan yang segera harus dibuat, dalam membuat keputusan, meskipun hanya sekadar menerima undangan berbuka puasa dirumah, pasti akan diteliti, setiap langkah akan membawa padah. Teringat akan sahabat-sahabat lain yang turut sama berkongsi nasib yang sama dimana kami tidak balik berbuka puasa bersama keluarga, merasakan kelainan jika hanya pergi berseorangan, Azrin mengambil keputusan menerima pelawaan itu hanya jika sahabat-sahabatnya turut serta merasai kemeriahan berbuka bersama keluarga, meskipun bukan keluarga kandung.
“serius ke kau nak ajak kitorang join family dye? Aku tak kenal lah siapa diorang tu, kau senang-senang jer terima cakap kita semua nak pergi” afiq bersuara setelah diberitahu tentang pelawaan itu.
       “eh, kau ingat aku kenal ke dia ni? Aku terima pun sebab alang-alang kita tak balik macam orang lain dan dia kenal abang aku, rasa-rasanya ok je kot” Azrin cuba meyakinkan sahabatnya.
       “aku ok jer, at least dapat makan free kan?” fikri menyampuk sambil tersenyum menunjukkan giginya yang ala-ala ‘mat saleh’.
       Perbualan mereka berakhir dengan persetujuan dari semua untuk berbuka puasa bersama dengan ‘keluarga’ baru. Begitulah Azrin dan sahabat-sahabatnya, tidak pernah sesekali terfikir untuk meninggalkan sahabat-sahabatnya walaupun dalam sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar masalah. Bak kata pepatah ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ apatah lagi, perumpamaan persaudaraan orang mukmin adalah ibarat anggota badan, satu anggota terasa sakit, maka sakitlah seluruh anggotanya. Jika tangan yang terkena air panas, badan juga akan terasa kepanasannya hingga demam.


“tetap bersama walau terluka, Mesti berusaha untuk mencapainya, Itulah rahsia dalam ukhuwah kita”



***************************************




            Yes! Hujung minggu dah tiba. Tiada waktu yang lebih dihargai oleh pelajar Universiti selain dari waktu lapang dihujung minggu dengan perancangan aktiviti yang hampir memenuhi setiap ruang waktu. Ada yang ‘outing’ dengan kawan-kawan, ada juga yang ‘dating’ dengan teman tapi mesra, tak kurang juga yang ingin meng’qadha’ tidur mereka kerana merasakan tidur mereka terganggu dengan pembelajaran harian.namun bukan ini ciri-ciri seorang mukmin yang sejati yang  mana hari ini adalah lebih baik daripada semalam dan hari esok adalah lebih hebat dari hari ini.


“Sejenak kerehatan bagi seorang mukmin merupakan suatu kelalaian dalam hidupnya.” 


Ku akui, ku pencinta sejati,
Ku berjanji yang Kau selalu ku sayangi,
Namun, Tuhan selalu ku bohongi,
Betapa malunya aku menghadapMu..
mencariMu hanya bila ku rindu,
mula bersujud hanya bila ku perlu,
namun bila Kau beri ku cinta,
panggilanMu tak pernah aku dengar..
       “hoi, khusyuk nampak!” Izwan menepuk bahu Azrin dari belakang, Azrin menunjukkan reaksi orang tua yang hampir melatah, earphone yang melekat di telinga dicabutnya. Dia yang dari tadi sedang asyik mendengar nasyid yang bertajuk curang daripada kumpulan feelhoney mula menghadapkan wajahnya kearah sahabatnya itu.
       Satu soalan diajukan kepada sahabatnya itu, Azrin memulakan dengan mengatakan lirik nasyid yang baru sahaja didengari tadi.
“Adakah betul kita mencintai Tuhan kita?”
“Apakah buktinya kita mencintai Dia?”
“Pernahkah kita merasakan kehadiranNya dalam kehidupan kita?”
“Apa ertinya kita merasa hidup bertuhan?”
       Bertalu-talu soalan dikongsikan kepada sahabatnya itu, mereka berdua saling berpandangan akan tetapi minda masing-masing sedang ligat berpusing mencari jawapan. Wujudnya kita kerana Dia, namun adakah kita merasakan kewujudanNya disekeliling kita. Jawapan yang sudah diketahui namun belum terjawap dengan perlakuan diri. Begitulah manusia yang hidup menumpang didunia ini, ketika merasa cukup, terlupa kepada Sang Pemberi, bila datang kesusahan barulah mula mencari. Tidak ramai yang mampu menghargai di kala diri sedang merasai dan menikmati nikmat kurniaan Ilahi, datangnya tanpa dipinta, hilangnya kita tertanya-tanya. Adakah ini yang dikatakan hamba yang bersyukur?
Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.
(Surah Ibrahim. Ayat 34)

Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya
(Surah Al‘Aadiyaat. Ayat 6)

                Ya Allah, sungguh hamba-hambaMu ini sangat lalai dan leka dalam bersyukur kepadaMu, bagaimana kami mampu berjalan diatas muka bumiMu tanpa ada sedikit pun rasa bersyukur kepadaMu? Sesungguhnya kami adalah tergolong dalam golongan yang teramat rugi didunia ini. Apalah sangat kalau kita ambil masa barang sekejap untuk melafazkan betapa kita mensyukuri nikmat yang telah diberikan. Lebih elok lagi kalau kita zahirkan dengan perbuatan, sebagaimana nabi Muhammad yang apabila ditanya oleh Aisyah mengapa beliau sanggup bangun malam dan bertahajjud sehingga bengkak dan pecah-pecah pada kaki baginda, dengan bersahaja baginda menjawap “salahkah jika aku ingin menjadi hamba yang bersyukur?” (HR Bukhari)
“Sekiranya kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahkan nikmatKu, sekiranya kamu kufur, sesungguhnya azabKu amatlah pedih”.
(surah Ibrahim, ayat: 7)


                Perbualan kami berakhir dengan konklusi yang masih lagi menjadi persoalan buat diri sendiri. Namun segalanya mungkin, mungkin sahaja jawapannya ada dalam diri, Cuma kita yang tidak berusaha mencari. Perasaan ingin mengetahui sesuatu perkara secara terperinci adalah amat perlu bagi seseorang mukmin yang sejati supaya dia lebih kenal hakikat sebenar kejadiannya dan juga apa yang berada disekelilingnya.
      


****************************


       Truut..truut..
       Truut..truut..
       “Assalamualaikum,” Izwan menjawap panggilan telefon daripada ibunya dengan nada yang bersahaja.
       Melalui ringkasan perbualan telefon Izwan bersama ibunya Azrin yang merupakan teman sebilik Izwan dapat mengenal pasti bahawa Izwan sedang menghadapi masalah keluarga, daripada nada percakapannya hinggalah kepada kelantangan suaranya, semuanya menunjukkan dia sedang berada dalam tahap ‘overpowering emotion’ bak kata pensyarah kami dalam kelas CCT.
       “aku tak puas hati betollah dengan adik aku ni! Semuanya tak kena bagi dia, apa yang dia nak pon aku tak tahulah, nak kata bodoh, belajar dah masuk sekolah menengah!” Izwan menghempaskan tubuhnya kearah katilnya yang bersebelahan dengan katil Azrin.
       “sabar wan, sabar.” Hanya perkataan itu yang terbit dari bibir Azrin, dia juga buntu memikirkan sahabatnya itu.
       “arrgghh, tension betul aku, kang aku balik, aku bunuh jugak budak nie!” Masih lagi dengan emosinya sehingga tak mampu dikawal apa yang keluar dari mulutnya.
       Azrin hanya mampu menoleh tanpa sebarang reaksi, mendengarkan sahaja segala perkataan yang diluahkan oleh sahabatnya, meskipun agak pedih kerana terkeluar perkataan yang tidak sepatutnya, namun Azrin kekal bersama sahabatnya itu untuk menenangkan dia. Baginya, apalah gunanya dia bersahabat jika hanya mampu berkongsi kegembiraan tapi membiarkan disaat sahabat mengalami kedukaan.lebih mengejutkan Azrin adalah ibu Izwan berkata-kata dengan airmata, anak mana yang sanggup melihat ibunya bersedih? Kemarahan Izwan lebih memuncak disaat itu, Azrin sedar bahawa disaat inilah sahabatnya betul-betul memerlukannya.
       “wan, kau sekarang nie dalam keadaan marah yang teramat sangat, menyebabkan otak kau tak boleh berfikir dengan waras, jom, ambik wudhu dulu lepas tu solat sunat minta daripada Dia moga-moga kita diberikan petunjuk dalam menyelesaikan masalah ini.” Azrin cuba untuk berkomunikasi secara halus agar kemarahan Izwan tidak menjadi makin parah. Izwan mendengar dan secara pelahan-lahan dia bangkit dari perbaringannya menuju ke bilik air.
       Alhamdulillah, akhirnya selepas menurut apa yang disarankan oleh Azrin, jiwa Izwan lebih tenang dan kata-katanya tidak lagi berbaur emosi.dia lebih tenang dalam berkata-kata, itulah antara rahsia yang Allah sembunyikan dalam ‘talian’ yang menghubungkan hamba dan Pencipta. lebih menggembirakan apabila dia menerima panggilan daripada ibunya pada keesokan harinya mengatakan adik dia yang bermasalah itu sudah pun berubah. Ibunya juga mengkhabarkan bahawa adiknya telah pun meminta maaf dan berjanji untuk tidak mengulangi lagi kesilapan yang sama. Satu keajaiban yang sukar untuk diterima akal mahupun disangkal oleh teori-teori kejadian manusia. Allah, Maha Agung kekuasaanMu. Setiap yang berlaku ada hikmahnya dan Dialah sebaik-baik perancang.
       Satu iktibar yang amat jelas dapat kami kutip daripada peristiwa itu adalah bagaimana hebatnya Dia mengatur kehidupan kita, dikala kita lupa Dia akan mengingatkan kita, dikala kita jauh denganNya Dia datangkan hadiah berupa ujian dan dugaan untuk kita kembali kepadaNya. Itulah tarbiyah dariNya.

“Ujian dan dugaan itulah adalah satu cubitan manja dariNya agar kita tahu bahawa Dia sentiasa ada bersama kita, supaya kita kembali meletakkan segala pengharapan dan pergantungan kita kepada Dia”





***************************




Kisah kami tidak terhenti hanya pada kemuncak dimana kami mengalami kesusahan sahaja, ada juga kegembiraan dan kemeriahan yang kami kongsikan bersama, baik yang melibatkan semua penghuni FZC 302 mahupun hanya segelintir sahaja. Apa yang menarik tentang ahli-ahli bilik ini adalah masing-masing mempunyai komitmen tersendiri, ada yang sibuk dengan kelab dan persatuan namun ada juga yang sibuk sehinggakan nak tengok muka dia hanya ketika mandi dan makan. Satu kebanggaan buat kami semua kerana sebagai mahasiswa, kami bukan hanya lahir dari corong-corong fakulti dan kelas tetapi juga wujud hasil dari didikan lorong-lorong lapangan dan pengalaman. Ada yang berjawatan Yang-DiPertua, ada yang menyertai  perwakilan pelajar, tak kurang juga yang aktif bergiat dalam persatuan akademik masing-masing.



Dulu kau berdiri bersamaku dan saling mengukir janji,
bahwa kau kan selalu ada disini, susah senangku bersama kau tempuhi,
ku hargai…

kini kau dimana, meninggalkan ku sendiri tak berdaya,
pesan mu padaku janganlah berduka,jangan menangisiku bila ku tiada
Ku mencuba..

airmata jatuh ke pipi mengingkari janji yang ku beri,
kisah cinta sahabat sejati tak berakhir bila engkau pergi,
sahabatku kau kan ku rindui kerna kau takkan kembali,
walau kau disana namun doaku kan selalu bersama,
maaf kerna ku tak pernah pun berkata,
bahwa kau lah teman yang paling sempurna yang ku ada.. 

“oit, pasang lagu jiwang pulak malam-malam gini” Izwan menegur sahabatnya Azrin yang dari tadi khusyuk mendengar lagu ‘kisah cinta’ nyanyian kumpulan nasyid ‘feelhoney’.

“eh kau nie, takdelah saje jer dengar lagu nie sebab lagu diorang sume bez-bez, aku minat kumpulan nie, lagipun lirik lagu nie bukan tentang cintan-cintun pon, nama jer kisah cinta tapi kisahnya tentang sahabat” terang Azrin panjang lebar seolah-olah jurujual yang ingin mempromosi barang jualannya.

“yelah tu, ape-ape jelah..” dengan muka ‘selamba rock’nya Izwan membalas.

“aik, nie ada party-party happy-happy taknak ajak aku sekali ker??” Aliff mencelah dari pintu bilik kami dengan meniru gaya ‘Lan todak’ kesukaannya itu.

“Meh-meh, memang ada party pun, hah tu tambah-tambah nasi..” Fikri pula masuk ke bilik kami mengajak ‘berjimba’lah kononnya sambil memegang telefon bimbit yang tak pernah lekang dari tangan beliau.


“haa, nie dah cukup geng dah nie, fikri,alif, apa tunggu lagi?” Azrin cuba mewujudkan suasana yang sedang berada dalam fikirannya, idea-idea jahat mula menerpa ke ruangan fikirannya untuk mengusik teman sebiliknya itu.

“ayuh!” Fikri dan Alif menyahut serentak.sambil melihat muka Izwan yang sedang keliru namun seperti mampu meneka apa yang akan terjadi seterusnya.

“em, pegang-pegang fon tuh, ustaz, tak SMS ustazah ker??” Fikri mula bersuara menghadapkan mukanya ke arah Izwan.

“dah SMS kot, tadi dye mesej, ‘ustazah dah baca Al-Mulk ke belum’ betul tak ustaz?”
Azrin menyampuk dengan gaya memerli kawannya sambil menepuk Alif memberi isyarat untuk menyambung ayat seterusnya.

       “ustazah pon reply ‘maaf lambat reply mesej ustaz,ana baca Quran tadi.., ustaz jangan lupa witir sebelum tido yer’ Allah Allah Allah kan sweet macam nie” ketawa mereka bergema serentak memenuhi ruangan bilik namun Izwan ketawa tersipu-sipu sambil tersengih, memandangkan masa ini adalah masa untuk dia ‘kena’.

       “aa.. korang tunggulah, nanti-nanti time korang, haa..” Izwan mengugut dalam keadaan bergurau sambil tersengih.

       “eh, ustaz tak boleh macam nie, nanti ustazah marah” secara spontan Azrin membalas gurauan sahabatnya itu sekaligus ketawa mereka berderai lagi.

      
       Panggilan ustaz dan ustazah merupakan rekaan kami sebilik mengisyaratkan kata nama ganti diri itu kepada sahabat-sahabat yang ‘terkena’ kerana kami semua merupakan melajar yang mengambil jurusan ‘Ilmu Wahyu’ atau nama panjangnya ‘Ilmu pengetahuan berteraskan Wahyu dan Warisan Islam’ tapi lebih terkenal dengan nama ‘IRK’ di UIAM ini. Bagaimana bermulanya gelaran ini masih lagi menjadi rahsia meskipun buat penghuni FZC302 hinggalah ke hari ini, tiada siapa yang tahu.


Ada masanya gurauan sesama sahabat akan menceriakan suasana dan mengeratkan ukhuwah, ada masa gurauan menjadi harus jika kena pada tempatnya tetapi menjadi haram bila menyalahi syariat, dalam gurauan elakkan dari melakukan penipuan. Akan tetapi terlalu banyak bergurau akan menyebabkan hilangnya kewibawaan. Gelak ketawa merupakan buah ataupun kemanisan dalam bergurau dan ianya juga perlu dikawal kerana terlalu banyak ketawa akan mematikan hati, sedangkan jiwa yang tak mampu ketawa ibarat robot yang hanya mengikut arahan yang diterapkan dalam sistemnya.

       Perkara yang paling asas yang perlu ditekankan adalah lidah dan hati. Lidah merupakan punca utama khususya dalam bergurau dan umumnya dalam pertuturan. Manakala hati merupakan sumber dan titik utama yang menyebabkan bermulanya perbuatan ataupun kelakuan. Berbicara dan berkata-kata mampu memberikan kebaikan jua keburukan kepada saudaranya yang lain, akan tetapi muslim yang terbaik adalah yang terselamat saudaranya dari perkataan dan perbuatannya sebagaimana sabda junjungan mulia nabi Muhammad S.A.W:

“Seorang muslim, ialah orang yang kaum Muslimin selamat dari lidah dan tangannya;
dan orang yang hijrah, ialah orang yang meninggalkan apa yang Allâh larang”
( HR al Bukhâri (no. 10) dan Muslim (no. 40), dari ‘Abdullah bin ‘Amr bin ‘Ash radhiyallâhu'anhu.)

            Setiap perkataan yang terbit dari mulut secara sengaja mahupun tidak akan dicatat oleh malaikat yang berada dikiri dan kanan seorang muslim itu. Jadi hendaklah seorang muslim itu berwaspada dalam setiap apa yang ingin dilontarkan melalui lisannya. Dari segi sains pula, molekul air mampu menyerap perkataan atau bunyi yang terhasil dari sekeliling, jika perkataan yang baik yang dikatakan pada air, maka akan cantiklah molekulnya dan begitulah sebaliknya. Didalam mulut kita pula ada saliva atau nama lainnya air liur yang juga menyerap perkataan yang keluar dari mulut kita, disini jelaslah bahawa seseorang yang sering menungkapkan perkataan-perkataan baik mahupun kalam suci, sentiasa menelan molekul-molekul air yang cantik oleh itu tidak hairanlah jika tubuhnya sentiasa sihat dan hidupnya penuh berkat.

       Begitulah juga sebaliknya, barangsiapa yang suka berkata-kata dengan perkataan yang keji atau suka mencaci dan menghina orang lain maka apa yang bakal ditelan dan masuk ke dalam perut seterusnya menjadi darah dagingnya tak lain tak bukan adalah air yang bermolekul baik dan zarah yang sihat.

         
“Satu perkataan sudah mampu untuk menghiris sekeping hati yang berkaca, namun satu kalimah belum tentu berdaya mengukir senyuman pada wajah yang membisu seribu bahasa”




***************************




            Setiap pertemuan pasti ada perpisahan, jika ada yang datang pasti akan pulang, begitulah juga kami disini, peperiksaan terakhir untuk semester yang terakhir hampir tiba, tidak lama lagi kami semua akan bergraduasi dari UIAM ini. Kesedihan itu ada, kepiluan juga kami rasa, namun kami tahu ini adalah perancanganNya, jika kami ikhlas menjaga hubungan ini kerana Dia, nescaya akan dipertemukan kembali suatu masa nanti, jika bukan didunia yang fana ini, mungkin diakhirat yang kekal abadi. Terlalu banyak perkara yang kami kongsikan bersama, banyak juga masalah yang datang melanda, akan tetapi itu semua adalah dugaan dari yang Maha Esa, kerana kami tahu saat itulah ukhuwah kami sedang diuji.     

Buat sahabat-sahabatku:

Izwan, Fikri, Arif, Alif, Amir, Fais, Hafizi, Fitri… 

Nama-nama yang pernah mencorakkan hidup aku, mengisi suka dan dukaku, ku bahagia mengenalimu sahabat~
       Kalau bukan kerana cahaya.
              Pasti bunga akan layu dan mati.
       Segala pahit manis kita bersama,
              Akan ku pahat utuh De-Hearty  


Masa yang berlalu bagaikan sekelip mata….

Ya Allah ku harapkan ukhuwah yang kami bina walau sebentar Cuma, Kau kekalkanlah ia dan semoga kami menjadi sebahagian daripada  7 golongan yang berada dibawah naungan arsyMu dihari tiada lagi naungan kecuali naunganMu iaitu ‘mereka yang bersahabat dan saling berkasih sayang,bertemu dan berpisahnya mereka kerana Allah’. Aku mohon Kau jagakanlah ukhuwah kami ini sebagaimana Kau menjaga diri kami, kami merancang namun Engkau juga merancang dan sebaik-baik perancang adalah Engkau Ya Allah. Tiadalah daya kami untuk menolak segala perancanganMu, apa yang kami harapkan adalah Engkau takdirkanlah apa yang terbaik buat kami semua.. ameen~