Saat
ini kita menyaksikan ramai umat Islam begitu rajin dan bersungguh-sungguh dalam
melakukan amal ibadah. Kita melihat di antara mereka ada yang gemar mentadabbur
(membaca dan menghayati makna) Al-Quran, menghidupkan malam Ramadhan dengan solat
malam (tarawih & tahajjud), melazimi masjid-masjid dan surau-surau, juga
sebahagian lainnya suka bersedekah, saling bertukar juadah berbuka puasa sesama
jiran tetangga dan sebagainya. Tetapi sayangnya amalan-amalan kebaikan seperti
ini kadang terhenti setelah Ramadhan berlalu pergi.
Muslimin
dan muslimat yang dirahmati Allah,
Ibadah
tidak hanya dilakukan pada satu bulan, bahkan para ulama mengeji dan membenci
orang yang hanya rajin beribadah pada bulan Ramadhan sahaja. Sedangkan pada
bulan-bulan lainnya amalan tersebut ditinggalkan. Sebahagian ulama mengatakan: “Seburuk-buruk
manusia ialah yang hanya rajin beribadah pada bulan Ramadhan, sesungguhnya manusia
yang baik ialah mereka yang rajin beribadah dan berterusan ibadahnya.”
Asy
Syibli rahimahullah pernah ditanya: “Bulan manakah yang lebih utama?
Rajab atau Sya’ban?” Beliau menjawab: “Jadilah Rabbaniyyin dan janganlah
menjadi Sya’baniyyin.” Maksudnya: “Jadilah hamba yang rajin beribadah di
setiap bulan, sepanjang tahun dan janganlah hanya beribadah pada bulan Sya’ban
sahaja.” Seterusnya Ibnu Rajab Al-Hambali rahimahullah berkata: “Jadilah
Rabbaniyyin dan janganlah menjadi Ramadhaniyyin.” Maksudnya: “Jadilah
hamba yang beribadah secara berterusan sepanjang tahun dan janganlah hanya
beribadah pada bulan Ramadhan sahaja.” [Lihat: Lato-if Al-Ma’arif, Ibnu
Rajab Al-Hambali, m/s 396-400]
Begitulah
amalan Rasulullah sallallahu ’alaihi wasallam; amalan yang menjadi kebiasaan
dan berterusan, bukan amalan yang bermusim pada waktu atau bulan tertentu,
sebagaimana yang diriwayatkan dalam sebuah hadis; Alqamah radhiallahu ‘anhu bertanya
’Aisyah radhiallahu ‘anha mengenai amalan Rasulullah sallallahu ’alaihi
wasallam: “Apakah baginda mengkhususkan hari-hari tertentu untuk beribadah?”
‘Aisyah menjawab: “Baginda tidak mengkhususkan waktu tertentu untuk
beribadah. Amalan baginda ialah amalan yang berterusan.” [Hadis riwayat Al-Bukhari
no. 1987 dan Muslim no. 783]
Muslimin
dan muslimat yang dirahmati Allah,
Tanda
diterimanya sesuatu amalan itu adalah apabila amalan tersebut membuahkan amalan
ketaatan yang lain selepasnya. Di antaranya adalah apabila amalan tersebut
dilakukan secara berterusan. Sebaliknya tanda tertolaknya sesuatu amalan adalah
apabila amalan tersebut bahkan membuahkan keburukan selepasnya, Na’uzubillah.
Sebahagian ulama salaf mengatakan: “Di antara balasan kebaikan adalah
kebaikan yang datang selepasnya, dan di antara balasan keburukan adalah keburukan
yang datang selepasnya.” [Lihat: Tafsir Al-Quran Al-‘Azhim, Ibnu Kathir,
8/417, Tafsir Surah Al-Lail]
Ibnu
Rajab Al-Hambali rahimahullah menjelaskan hal di atas dengan membawakan
perkataan ulama salaf lainnya yang berbunyi: “Balasan dari amalan kebaikan
adalah kebaikan yang datang selepasnya. Barangsiapa melaksanakan kebaikan lalu
diikuti selepasnya dengan kebaikan, maka itu adalah tanda diterimanya amalan
yang pertama. Begitu juga barangsiapa yang melaksanakan kebaikan, namun diikuti
selepasnya dengan keburukan, maka ini adalah tanda tertolaknya atau tidak
diterimanya amalan kebaikan yang telah dilakukan.” [Lihat: Lato-if
Al-Ma’arif, Ibnu Rajab Al-Hambali, m/s 394]
Di
antara kebaikan sesuatu amalan ialah amalan yang dilakukan secara berterusan.
Amalan yang berterusan walaupun sedikit itu lebih baik dari amalan yang tidak berterusan
meskipun jumlahnya banyak. Amalan yang berterusan inilah yang lebih dicintai
oleh Allah ‘azzawajalla, sebagaimana yang diriwayatkan dalam sebuah hadis; Dari
‘Aisyah radhiallahu ‘anha berkata: “Rasulullah sallallahu ’alaihi
wasallam ditanya mengenai amalan apakah yang paling dicintai oleh Allah.” Baginda
menjawab: “Amalan yang berterusan, walaupun sedikit.” [Hadis riwayat
Muslim no. 782]
Hasan
Al-Basri rahimahullah berkata: “Wahai kaum muslimin, lakukanlah
ibadah secara berterusan. Ingatlah! Allah tidak menjadikan tempoh masa untuk
seseorang berhenti beribadah sehingga tiba saat kematiannya.” Seterusnya beliau
berkata lagi: “Jika syaitan melihatmu melakukan amalan kebaikan secara
berterusan, mereka akan menjauhimu. Namun jika mereka melihatmu melakukan sesuatu
amalan kebaikan kemudian engkau meninggalkannya setelah itu, malah melakukannya
sesekali sahaja, maka mereka akan semakin tertarik untuk menggodamu.” [Lihat:
Al-Mahjah fii Sayr Ad-Duljah, Ibnu Rajab Al-Hambali, m/s 71]
Muslimin
dan muslimat yang dirahmati Allah,
Melakukan
amalan yang sedikit namun berterusan akan membuat amalan tersebut berkekalan.
Imam An-Nawawi rahimahullah berkata: “Ketahuilah bahawa amalan yang
sedikit namun dilakukan secara berterusan itu lebih baik dari amalan yang
banyak namun hanya kadang-kadang dilakukan. Ingatlah bahawa amalan yang sedikit
yang dilakukan secara berterusan akan mengekalkan amalan kebaikan, zikir,
mendekatkan diri kepada Allah, niat dan keikhlasan dalam melakukan amalan, juga
akan membuat amalan tersebut diterima oleh Allah ‘azzawajalla. Amalan yang
sedikit yang dilakukan secara berterusan akan memberikan ganjaran yang besar
dan berlipat ganda berbanding amalan yang banyak namun hanya kadang-kadang
dilakukan.” [Lihat: Syarah Sahih Muslim, Imam An-Nawawi, 3/133]
Ibnu
Rajab Al-Hambali rahimahullah berkata: “Sesungguhnya Allah lebih
mencintai amalan yang dilakukan secara berterusan. Allah akan memberi ganjaran
pada amalan yang dilakukan secara berterusan berbeza halnya dengan orang yang
melakukan amalan hanya sesekali sahaja.” [Lihat: Fathul Bari, Ibnu Rajab
Al-Hambali, 1/84]
Firman
Allah ‘azzawajalla: “Dan sembahlah (beribadahlah) kepada Tuhanmu sehingga
datang kepadamu al-yaqin (iaitu ajal).” [Surah Al-Hijr: 99] “Ibnu
‘Abbas, Mujahid dan majoriti ulama radhiallahu ‘anhum mengatakan bahawa
‘al-yaqin’ adalah kematian. Ini adalah kerana kematian itu sesuatu yang
diyakini pasti terjadi. Sementara ahli tafsir yang lain mengatakan makna ayat
tersebut adalah perintah untuk beribadah kepada Allah berterusan selamanya.”
[Lihat: Zaadul Masiir, Ibnul Jauzi, 4/79, Mawqi’ At-Tafaasir, Asy-Syamilah]
Semoga
kita tergolong dalam golongan yang mencintai amalan-amalan yang dicintai oleh
Allah ‘azzawajalla dan berusaha untuk melakukan setiap amalan secara berterusan,
bukan bermusim dan bersungguh-sungguh hanya pada bulan Ramadhan. Hanya kepada Allah
kita memohon taufik dan hidayah. Segala puji bagi Allah yang dengan segala
nikmatNya setiap kebaikan menjadi sempurna. Wallahu A’lam.
credit to my brother..
No comments:
Post a Comment